Home Nasional Kim Chol mati disebabkan keracunan akut akibat agen saraf VX

Kim Chol mati disebabkan keracunan akut akibat agen saraf VX

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, disahkan meninggal dunia disebabkan keracunan akut akibat agen saraf VX.

Ketua Bahagian Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Shah Mahmood, 57, berkata hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang faktor lain yang menyebabkan kematian lelaki itu selain keracunan akut akibat agen saraf VX.

Beliau berkata bedah siasat ke atas mayat Kim Chol dikendalikan olehnya pada 15 Feb lepas selepas mayat itu dihantar oleh polis dari Hospital Putrajaya pada 13 Feb 2017.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin semasa pemeriksaan utama, saksi itu berkata secara umumnya pemeriksaan dalaman terhadap mangsa mendapati organ dalaman mengalami ‘konjensi’ dan paru-paru bengkak.

“Berat paru-paru kanan mangsa adalah 690 gram manakala paru-paru kiri 420 gram. Kebiasaannya, berat paru-paru untuk orang dewasa adalah seberat kira-kira 300 gram,” katanya.-BERNAMA