Home Akhbar Cina Pas tinggal Bangi di Selangor

Pas tinggal Bangi di Selangor

Tony Pua
Tony Pua
KUALA LUPUR – Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menjangkakan Pas yang memutuskan hubungannya dengan Pakatan Harapan hanya mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Beliau berkata, perang tiga segi di Selangor akan membawa kesan mudarat kepada Pas yang pengaruhnya di kawasan Melayu tidak setanding UMNO.
“Dalam keadaan gagal mendapat sokongan pengundi Cina di Selangor, Pas mungkin hanya mampu mempertahankan Bangi,” katanya kepada Oriental Daily.
Tony berkata, DAP sukar menerima “politik bermuka dua Pas” dan cara politik itu juga tidak diterima pengundi.
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong pula berasa optimis dengan “tsunami Melayu” yang dihebohkan pembangkang.
Katanya, pengaruh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Parti Pribumi Bersatu akan menghakis kubu terkuat Barisan Nasional (BN) di kawasan-kawasan Felda.
Menurutnya, kerajaan BN akan runtuh apabila 15 peratus undi Melayu beralih kepada Pakatan Harapan.
“Apa yang perlu dibuat Pakatan Harapan sekarang ialah memastikan kami bersatu. Pas tidak menjadi masalah yang besar jika kami kuat secara dalaman,” katanya. – MalaysiaGazette