Home Utama DCA diarah sedia laporan Subang Skypark tiada kelulusan CCC

DCA diarah sedia laporan Subang Skypark tiada kelulusan CCC

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Kepada Waris Mangsa Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Datuk Keramat Kuala Lumpur di Kelab Raintree, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menyediakan laporan penuh berhubung dakwaan Terminal Subang Skypark yang beroperasi tanpa memiliki surat sokongan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah dan aspek keselamatan khususnya pengunjung tidak sepatutnya diabaikan.

“Satu pusat atau lapangan terbang yang penting dalam negara kita, keselamatan adalah diutamakan dan jangan mengambil remeh tentang keselamatan.

“Saya arahkan DCA memberikan laporan kepada saya, perkara ini serius kalau ini dakwaan ini benar.

“Kita kena ambil tindakan segera kerana kita tak boleh biarkan satu pusat lapangan terbang tiada surat sokongan ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sumbangan Waris Mangsa Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Datuk Keramat, di Raintree Club, di sini, hari ini.

Beliau mengulas penyebaran dokumen menggunakan kepala surat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di media sosial baru-baru ini yang mendedahkan Terminal Subang Skypark masih tidak mempunyai surat sokongan CCC daripada PBT itu.
Surat yang bertarikh 11 April 2017 itu bertajuk Cadangan Pembangunan Di Atas Sebahagian Lot 1210, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah berhubung lawatan tapak pemeriksaan lampu jalan untuk tujuan sokongan CCC.
Semasa lawatan tapak itu dilakukan pada MBSA dan wakil Skypark RAC Sdn. Bhd. pada 30 Mac 2017 mendapati terdapat lima perkara yang masih gagal dipenuhi oleh pengurusan lapangan terbang itu.
Antara kegagalan itu ialah penggunaan kotak tamatan (junction box) yang tidak diluluskan oleh SIRIM, kabel ‘incoming’ dari peti pengagihan tidak menepati spesifikasi dikehendaki dan lampu jalan serta aksesori tidak berfungsi dengan baik.
Tiong Lai berkata, sehingga kini beliau masih tiada maklumat berhubung dakwaan atau mana-mana aduan mengenai tahap keselamatan lapangan terbang berkenaan.
“Saya belum menerima apa-apa laporan berhubung Subang Skypark. Saya tiada maklumat lagi berhubung dengan aduan-aduan ini,” katanya. – MalaysiaGazette