Home Utama Polis cari Ustaz Zubir untuk selesaikan kes perumahan DBI

Polis cari Ustaz Zubir untuk selesaikan kes perumahan DBI

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan) menunjukkan gambar seorang suspek yang dikehendaki atas pertuduhan penipuan jual beli rumah pada sidang media di Menara 238, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OKTOBER 2017
KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang lagi suspek dikenaliĀ  Ustaz Zubir Yahya bagi membantu siasatan kes penipuan jualan rumah banglo oleh DBI Properties dan Juta Kelulut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Zubir merupakan suspek kelima yang dikehendaki untuk melengkapkan siasatan kes penipuan berkenaan.
Setakat ini. sebanyak empat suspek termasuk seorang artis, Datuk Noruliman A.Rahman atau Boy Iman ditahan pada 2 Oktober lalu dan kini masih dalam reman polis.
Polis, katanya, turut menyiasat seorang wanita yang dikenali sebagai Datuk Siti Nor Bahiyah atau Datuk Anggun yang ditahan pada 27 September lalu sebagai suspek keempat kes yang sama sebelum ditahan semula di Sungai Besar dan direman 2 Oktober lalu di Klang.
“Kita sedang cari individu kelima dikenali sebagai Ustaz Zubir ini yang sangat dikehendaki polis untuk membantu siasatan kes penipuan ini. Kalau kita dapatkan dia, saya percaya polis boleh melengkapkan siasatan kes ini untuk tindakan pendakwaan,” katanya ketika dalam sidang media hari ini.
Kesemua suspek sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam perkembangan berkaitan, Acryl Sani turut mengesahkan polis menghadapkan keempat-empat suspek ke mahkamah untuk menyambung reman bagi meneruskan siasatan disamping meminta bantuan orang ramai Ustaz Zubir.
Setakat ini, menurutnya, jumlah kerugian mangsa penipuan jualan rumah banglo dalam kes yang sama meningkat kepada RM6.8 juta dengan sebanyak 210 laporan polis dan 18 kertas siasatan telah dibuka setakat hari ini.
Terdahulu Boy Iman berusia 37 tahun ditangkap pada 2 Oktober lalu Balai Polis Bukit Indah Ampang dan pejabat Wisma DBI turut diserbu dan segala dokumen berkaitan kes telah dirampas polis.
Manakala dua lagi individu berusia 29 dan 45 tahun dipercayai Pengarah Juta Kelulut Global Resources turutĀ  ditahan pada hari yang sama. – MalaysiaGazette