Home Utama Tindakan SPRM tahan Peter tak ada unsur politik – TPM

Tindakan SPRM tahan Peter tak ada unsur politik – TPM

KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana RM100 juta di Sabah tidak mempunyai unsur politik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ia dilakukan susulan kepada penahanan seorang naib presiden parti Parti Warisan Sabah (WARISAN) semalam.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri itu memuji tindakan SPRM memandangkan aduan berhubung salah guna kuasa melibatkan sebuah kementerian di Sabah itu sememangnya sudah lama diketahui.

“Saya berpendapat kes melibatkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) merupakan kes yang telah kita dengar begitu lama.

“Saya hargai menteri yang ada sekarang ini sedia beri bukti dan dokumen yang diperlukan untuk melicinkan siasatan,” kata beliau semasa sidang media selepas ucaptama Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN di sini hari ini.

Semalam, Naib Presiden WARISAN, Peter Anthony ditahan selepas hadir ke pejabat SPRM di Kota Kinabalu untuk memberi keterangan.

Anthony dilaporkan menerima sejumlah projek daripada KKLW, yang sebelum ini dipegang Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Ahmad Zahid juga yakin SPRM telus dalam siasatan mereka dan sebarang langkah yang diambil tidak mempunyai unsur politik.

“Dalam hal ini, kita yakin SPRM cukup telus dan bukan berunsur politik. Kita kena beri kepercayaan kepada SPRM untuk pastikan projek untuk rakyat dinikmati rakyat bukan keciciran akibat ketirisan daripada individu tertentu,” katanya.

Semalam, SPRM dilaporkan merampas wang tunai kira-kira RM150 juta menerusi serbuan di beberapa lokasi di Sabah.

SPRM mendakwa wujudnya sindiket menggelapkan wang dengan cara mengisytiharkan projek pembangunan kerajaan sudah siap dan membuat tuntutan bayaran, walaupun projek tersebut langsung tidak dijalankan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki sebelum ini mengesahkan operasi sedang dijalankan tetapi tidak mendedahkan kementerian yang terlibat. – MalaysiaGazette