Home Nasional Jamal dibebas tahanan reman sehari lebih awal

Jamal dibebas tahanan reman sehari lebih awal

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos (tengah) bercakap kepada pemberita setelah dibebaskan dari IPD Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini dibebaskan sehari lebih awal daripada perintah reman Mahkamah Majistret Shah Alam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kira-kira 7.30 malam tadi.

Jamal dibebaskan bersama tujuh ahli NGO itu setelah selesai diambil keterangan dan dilakukan kawad cam selama dua hari sejak penahanan mereka di Sekinchan dan sekitar Sabak Bernam, pada awal pagi Jumaat lalu

Beliau selaku Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar ditahan bersama tujuh pengikutnya berhubung tindakan mereka memecahkan lebih 100 botol arak di pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada Khamis lalu.

“Sepanjang penahanan kami, seperti biasa tak dapat tidur diambil kenyataan dan sebagainya kawad cam.

“Jadi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak polis kerana dapat menjalankan siasatan dengan cepat dan membenarkan kami keluar awal hari ini. Syabas dan tahniah kepada pihak PDRM,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan IPD Shah Alam, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, tindakan gimik memecahkan botol minuman keras itu untuk menyampaikan mesej kepada rakyat Selangor bahawa perbuatan meminum arak sesuatu yang ditegah di sisi semua agama.

“Larangan itu bukan setakat kepada orang Melayu beragama Islam sahaja sebaliknya agama-agama lain dalam negara atau dunia ini memang tidak pernah menyebut minum arak ini elok,” katanya lagi. – MalaysiaGazette