KUALA LUMPUR – Chef selebriti dan penyanyi popular, Datuk Fazley Yaakob, 39, berkongsi kegembiraan apabila bergelar bapa kepada cahaya mata perempuan selepas menanti hampir enam tahun.
Bayi perempuan itu selamat dilahirkan pada 5 Oktober
Fazley dan isteri, Datin Azrene Ahmad, 38, yang mendirikan rumah tangga pada 7 November 2006 telah dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Ahmad Fariedz, 9, Ahmad Fieradz, 7 dan Ahmad Fierudz, 6.
“Alhamdulillah, impian saya bersama isteri untuk menimang cahaya mata perempuan termakbul hari ini selepas menanti dalam tempoh panjang.
“Saya bakal mengumumkan nama anak tidak lama lagi. Cuma saya mohon maaf kerana tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai hal ini demi menghormati pemintaan isteri dan ibu,” katanya yang kini sedang menjalani penggambaran musim kedua program masakan sebanyak 13 episod berjudul Ketuhar Antarabangsa di Chennai di sini selama dua minggu.
Program yang melibatkan tenaga produksi dari negara itu menampilkan kerjasama 13 cef ternama dari Chennai dengan Fazley bertindak sebagai hos, cef segmen khas dan pengarah.
Menariknya, para pelajar tahun kedua kursus Ijazah Sarjana Muda Surgeri Pergigian dari Malaysia yang menuntut di Hospital Kolej Perubatan Meenakshi Ammal di sini turut menyaksikan penggambaran program tersebut hari ini.
Dalam perkembangan lain, anak kelahiran Negeri Sembilan itu juga sedang mempertimbangka tawaran memegang watak kemunculan khas bagi sebuah filem Tamil yang sedang menjalani penggambaran di sini di samping Mauritius tidak lama lagi. – MalaysiaGazette