Home Dunia Istana Arab Saudi diserang, 2 maut

Istana Arab Saudi diserang, 2 maut

Polis menjalankan siasatan di Istana Al Salam selepas seorang lelaki menyerang dan membunuh dua pengawal. foto Arab News

JEDDAH – Dua pengawal keselamatan maut dan tiga lagi cedera dalam kejadian tembak menembak di istana Arab Saudi.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam kenyataannya berkata, seorang lelaki berusia 28 tahun ditembak selepas merempuh pagar Istana Al Salam di Jeddah dan menembak pengawal keselamatan.

Suspek dikenali sebagai Mansour al-Amri, seorang warga tempatan.

Media tempatan melaporkan kejadian itu berlaku pada 15:15 (12:15 GMT).

Beberapa pengawal keselamatan dikatakan telah menghentikan serangan itu dan menembak suspek.

Setakat ini tidak ada maklumat lanjut tentang serangan dan motif suspek.

Dua hari lalu, polis Arab Saudi telah menyerbu tiga lokasi di Riyadh yang dipercayai sebagai sel pengganas.

Kejadian itu menyebabkan dua terbunuh dan lima lagi ditahan. – MalaysiaGazette