SERDANG – Pelajar India akan menjadi mangsa sekiranya membiarkan sistem meritokrasi dilaksanakan sepenuhnya di universiti awam (UA) negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedar mengikut sistem pemilihan ke UA yang dilaksanakan kerajaan mendapati penyertaan anak India masih rendah lagi.
Katanya, pendidikan peringkat tinggi perlu diperlihatkan pencapaian lebih tinggi untuk meningkatkan kemahiran dalam kalangan kaum India.
“Buat pertama kali kerajaan menyediakan 1,500 tempat dalam program matrikulasi untuk kaum India yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
“Oleh kerana penyertaan anak India masih rendah di UA, saya telah mengarahkan sebanyak 700 tempat tambahan untuk pelajar India dilaksanakan segera.
“Kalau kita membiarkan meritokrasi sepenuhnya dilaksanakan, yang akan jadi mangsa adalah anak-anak kaum India,” katanya selepas berucap merasmikan Majlis Penutupan Mesyuarat Agung IPF Ke-25 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang petang tadi.
Seramai 3,000 perwakilan IPF dengan 60 peratusnya wanita hadir ke perhimpunan kali ini yang turut disertai Setiausaha Agung BN dan UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Menyentuh mengenai meritokrasi, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional juga menjelaskan, sistem pengambilan itu diperkenalkan dalam zaman orang lain.
“Ia tidak membantu kaum India, kalau tak buat sesuatu mungkin penyertaan mereka di peringkat UA sekadar tiga hingga empat peratus sahaja seperti sekarang (sasaran ditetapkan adalah tujuh peratus) dan akan merugikan kaum India.
“Jika ditambah maka ada anak India yang berjaya dapat membantu ibu bapa dan adik beradiknya.
“Sebab itulah percayalah kepada apa yang kita (BN) lakukan, ini komitmen saya untuk membangunkan kaum India supaya masyarakat ini dapat merasai kita tidak sekadar vetti pechu (cakap kosong) tetapi nijam (benar) kenyataan yang ingin dibangunan dengan semangat Nambikkai (kepercayaan) dalam kalangan India,” tegasnya lagi.
Menyentuh mengenai tuntutan IPF sejak 25 tahun lepas untuk menganggotai BN, Najib berkata beliau akan cuba berbincang dengan rakan komponen BN yang lain untuk bekerjasama dengan IPF walaupun mungkin tak dapat menunaikan sebahagian tuntutan parti mesra itu.
“Saya cuba berbincang dengan rakan lain untuk bekerjasamsa dengan IPF supaya parti rakan setia BN diberi pengiktarafan lebih dalam kalangan semua peringkat.
“Saya akan ambil kira pandangan diberikan presiden (Senator Datuk M.Sambanthan) tadi dan akan runding big brother IPF, Tengku Adnan.
“Namun apa yang penting bukan jawatan untuk diri kita tetapi mengutamakan masa depan kaum India dan rakyat keseluruhannya,” tegasnya. – MalaysiaGazette