SUNGAI BULOH – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meminta pembentangan Bajet 2018 memberi keutamaan menambah stor ikan sejuk beku segar dalam menangani harga hasil laut yang tidak menentu khususnya pada musim tengkujuh.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya akan mencadangkan perkara tersebut dengan memberi keutamaan kepada Persatuan Nelayan Kebangsaan untuk penambahan kemudahan itu.
“Permintaan rakyat terhadap hasil laut semakin hari semakin meningkat dan sudah tentu kena ada intervensi.
“Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan permintaan LKIM melalui Kementerian Pertanian dan Asas Tani supaya lebih banyak lagi pusat-pusat pengumpulan dan pengedaran dapat diperluaskan di seluruh negara.
“Paling penting ialah program-program bercorak intervensi dalam memastikan bekalan ikan ini mencukupi dengan harga berpatutan kepada rakyat,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Pengurangan Kos Sara Hidup di Saujana Utama 3 di sini hari ini.
Menurut Irmohizam, program itu dilanjutkan hari ini susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai pada Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan di MAEPS, baru-baru ini.
Katanya juga, penjualan hasil laut pada harga lebih rendah daripada pasaran merupakan pendekatan hasil perbincangan pihaknya dengan Persatuan Nelayan Selangor.
“Kaedah ini dilakukan bagi memastikan kos sara hidup rakyat dapat ditampung khususnya permintaan ikan dan barangan laut yang semakin meningkat.
“Dalam pembentangan Bajet 2018, saya ingin mencadangkan kerajaan memberi keutamaan kepada kami untuk diadakan program ini dalam menangani kos hidup rakyat, terutamanya di Lembah Klang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.