Home Ekonomi Harga minyak mentah naik semula

Harga minyak mentah naik semula

Gambar hiasan

SINGAPURA – Harga minyak naik dalam dagangan hari ini dengan harapan Arab Saudi akan terus menahan pengeluarannya untuk menyokong harga, selain aktiviti penggerudian minyak baru di Amerika Syarikat merosot.

Pelabuhan minyak, pengeluar dan penyulingan minyak di Louisiana, Mississippi dan Alabama ditutup ekoran Taufan Nate.

Kemudahan-kemudahan itu dijangka dibuka pada hari Isnin apabila angin yang membawa hujan itu diramal bergerak ke pedalaman, jauh dari infrastruktur tenaga paling banyak di Pantai Teluk Amerika Syarikat.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada AS$49.44 setong pada 0015 GMT, naik 0.3 peratus berbanding harga penutup.

Manakala Brent naik AS$0.08 kepada pada AS$55.70 setong.

Minyak jatuh sekitar 2.0 peratus pada hari Jumaat dengan WTI meruncing di bawah AS$50 setong, berikutan kebimbangan mengenai pengeluaran meningkat semula.

Tetapi penganalisis meramalkan komitmen Arab Saudi untuk terus menyokong pasaran dengan menahan pengeluaran bagi mengelakkan kejatuhan minyak mentah.

“Kami tetap yakin Arab Saudi akan terus menyokong pasaran minyak, terutama sehingga penjualan Aramco,” kata Shane Channel, penasihat ekuiti dan derivatif di ASR Wealth Advisers.

Aramco dijangka mengapung sekitar 5.0 peratus bagi tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun depan. – MalaysiaGazette