PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memastikan agensi kerajaan serta sektor swasta melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai langkah kerjasama mempertahankan integriti perkhidmatan kepada rakyat.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, ia merupakan langkah yang dilaksanakan pihaknya sejak awal tahun 2017 untuk memudahkan pemilikan sijil penarafan antarabangsa atau ISO 37000 1.
“Tindakan memerangi rasuah bukan usaha eksklusif SPRM sahaja, kita memerlukan kerjasama semua pihak dan langkah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Kementerian Pertanian yang komited dalam mengoptimumkan usaha untuk memerangi rasuah sangat menggalakkan.
“Kita sedang menunggu kelulusan Kementerian Dalam Negeri dan pada minggu terakhir Oktober ini untuk memastikan agensi kerajaan dan swasta yang terikat dengan IBR memiliki sijil ISO itu dengan kos murah.
“Menteri akan menyerahkan kelulusan untuk medapatkan dokumen ISO 37000 1 itu minggu terakhir Oktober ini kepada kepimpinan tertinggi SPRM untuk langkah lanjut,” katanya dalam sidang media di Kota Damansara hari ini.
Beliau hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh Nafas dan kira-kira 310 warga kerjanya di ibu pejabat pertubuhan itu.
Kata Shamshun, dalam perkembangan berkaitan inisiatif SPRM yang membuka pendaftaran orang ramai sebagai Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) yang menjadi mata dan telinga SPRM melaporkan unsur rasuah.
Katanya, setakat ini, lebih 70,000 orang telah mendaftarkan diri sebagai Sahabat Gerah dan mahu jutaan rakyat Malaysia turut tampil mendaftarkan diri untuk bersama SPRM dan mempertahankan segala tindakan suruhanjaya itu memerangi rasuah.
Selain itu, Shamshun Baharin memberitahu, SPRM juga telah mengemukakan cadangan Akta Liabiliti Korporat kepada pertimbangan kerajaan untuk dibentang dan diluluskan di Parlimen segera untuk penguatkuasaan.
“Akta itu membolehkan mana-mana entiti yang berdepan siasatan rasuah boleh mengelak diambil tindakan menggunakan sijil ISO 37000 1 yang menyokong langkah pencegahan rasuah pernah dilaksanakan organisasi itu.
“Ia sepatutnya sudah lama dilaksanakan, jadi kali ini kita tunggu Parlimen meluluskannya nanti.
“Selain syarikat, mana-mana individu juga boleh diambil tindakan sekiranya disiasat berkaitan rasuah jika dia merupakan wakil syarikat di bawah akta itu,” katanya lagi.- MalaysiaGazette