JOHOR BAHRU – Seorang pegawai dan enam anggota polis yang didapati berhibur di sebuah pusat hiburan di Muar telah ditukarkan ke jabatan lain.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata keputusan itu diambil sementara menunggu tindakan susulan dilakukan.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, siasatan tatatertib juga telah dijalankan sebaik sahaja maklumat berkenaan diterima.
Beliau mengulas mengenai sebuah video dalam Facebook yang tular semalam yang menunjukkan sekumpulan tujuh individu yang didakwa sebagai pegawai dan anggota polis dari Unit D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Muar sedang berhibur bersama tauke judi haram di sebuah pusat hiburan yang terletak di Pusat Perniagaan Bakri.
“Dalam hal ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat pelanggaran tatatertib ini tidak boleh dikompromi dan akan mengambil tindakan yang tegas kepada semua yang terlibat.
“Semua pegawai dan anggota PDRM mesti akur kepada kehendak integriti dalam memartabatkan PDRM selaku penguat kuasa undang-undang utama negara,” katanya. – MalaysiaGazette