Home Nasional PPIM nafi bantu bebaskan ‘doktor gigi palsu’  

PPIM nafi bantu bebaskan ‘doktor gigi palsu’  

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bercakap pada sidang media mengenai isu doktor gigi palsu di Ibu Pejabat PPIM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan dakwaan terlibat secara langsung dalam membantu membebaskan ‘doktor gigi palsu’ seperti yang tular di media-media sosial.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, persatuan itu tidak pernah menyokong atau mengiktiraf tindakan yang dilakukan individu terbabit yang disifatkan bersalah dan boleh memberi risiko kepada pengguna.

Menurutnya, PPIM tidak pernah mengumpul sebarang dana mahu pun mempromosi kutipan derma sehingga mencecah RM70,000 bagi membantu membebaskan wanita itu.

Sebaliknya, kata beliau, persatuan itu hanya berperanan memberikan khidmat nasihat kepada keluarga dan peguam wanita berkenaan yang hadir sendiri berjumpa dengannya selepas dijatuhi hukuman mahkamah.

“Kita sebenarnya tidak tahu apa yang jadi isu sebenarnya dan berasa kesal melihat komen-komen yang berniat jahat. Apa yang kita buat dan buktikan jika ada.

“Netizen termasuk golongan profesional di media sosial mengecam tanpa mengetahui isu sebenarnya. Jangan buat budaya Hang Nadim, kita kena ubah, kalau tidak negara akan hancur.

“Mungkin ini panggilan untuk lihat kembali apa yang tidak kena dalam diri kita,” katanya pada sidang media akhbar di sini petang tadi.

Beliau mengulas dakwaan netizen di media-media sosial yang mendakwa kononnya PPIM membantu membebaskan seorang wanita yang dijatuhi hukuman denda kerana menjalankan perniagaan memasang pendakap gigi secara haram, baru- baru ini.

Hadir sama pada sidang media itu aktivis PPIM, Muhammad Zharif Johor Nadzim Johan dan Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Muhammad Yusuf Azmi.

Dalam pada itu, Nadzim memberitahu, persatuan itu tidak berniat membantu wanita berkenaan membuka klinik pergigian sebaliknya hanya memberi cadangan membantunya membuka perniagaan lain.

“Kita bukan hendak bantu dia buka klinik sebaliknya membantu dalam perkara lain. Isu ini masyarakat kena faham.

“Jangan lontarkan tuduhan secara tidak bertanggungjawab. Kena ingat supaya kita lebih bertanggungjawab dan disebabkan sifat sebeginilah isu dadah tidak selesai,” katanya.

Sementara itu, Zharif Johor berkata, sumbangan yang diterima wanita tersebut diberikan oleh sebuah kelab permotoran yang mengumpulkan wang daripada orang ramai serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kami difahamkan kelab permotoran itu juga ada berkait dengan keluarga doktor gigi palsu tersebut. Segala kutipan wang berkenaan tidak melibatkan PPIM sama sekali. Ini dilakukan Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PPEIM) yang turut terlibat secara langsung dengan mempromosikan poster dan kutipan dana secara keseluruhan,” katanya. – MalaysiaGazette