KUALA LUMPUR – Dr. Zamihan Mat Zin berang dan mengancam untuk saman beberapa media termasuk FMT, Malaymail, NSTPĀ dan Datuk Zaid Ibrahim kerana laporan berhubung ceramahnya yang didakwa menghina Sultan Johor dalam isu ‘dobi untuk orang Islam sahaja’.
Pengerusi Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) itu mendakwa, portal berita Free Malaysia Today (FMT) menfitnahnya dan sengaja mahu mengeruhkan hubungan antara golongan agamawan dengan istana.
“Artikel FMT itu jelas berniat jahat dan berunsur fitnah terhadap saya, selain cuba mengeruhkan hubungan antara agamawan dan istana berhubung isu dobi Muslim.
“Bahkan FMT juga dilihat mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan hubungan antara kaum dengan mencetuskan kemarahan bukan Islam terhadap umat Islam di negara ini,” kata Zamihan dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam artikel bertajuk ‘Pegawai Jakim Selar Sultan Johor, Bidas Cina Tak Bersih’ semalam, FMT melaporkan Zamihan mengkritik Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana mengarahkan seorang pengusaha dobi di Muar menghentikan perniagaan yang dikhususkan untuk orang Islam sahaja bulan lepas.
Video ucapan kuliah agama di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam pada Ahad itu kini viral.
“Dalam rakaman video yang kononnya dijadikan rujukan FMT, saya sama sekali tidak menyebut nama Tuanku Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Saya juga tidak menggunakan perkataan kasar, kesat atau elemen yang bersifat hasutan dalam ceramah berkenaan
“Saya sedia untuk disiasat atas falsafah berani kerana benar dan takut kerana Allah. Namun demikian, amat wajar juga disiasat gerakan agenda republik untuk menghapuskan sistem Kesultanan oleh segelintir pendakwah Liberal di negara ini,” tegas beliau.
Dalam kenyataan itu Zamihan berkata, beliau amat menghormati dan menyanjung tinggi Sultan Johor sebagai seorang yang berjiwa rakyat dan berpegang teguh dengan ajarah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Adalah mustahil untuk saya menuturkan kata-kata atau menghini sultan sama sekali,” ujarnya sambil memohon maaf jika Sultan Johor terasa hati dengan pandangan peribadinya.
Zamihan mendakwa FMT berniat jahat menyerang dan memburukkan imejnya selaku Presiden Aswaja kerana ini bukan kali pertama portal berkenaan mengeluarkan artikel yang cuba membunuh karekternya.
Posting artikel Malaymail pula memuatkan foto beliau menjelir lidah sewaktu menyampaikan ceramah.
“Saya percaya situasi itu sengaja ditimbulkan bagi mencetuskan kebencian sesetengah pihak kepada saya kerana saya seringkali menegur sesetengah pihak dengan tegas berhubung isu-isu agama.
“Paling ketara niat jahat FMT yang secara jelas mengaitkan jawatan saya sebagai Pegawai Jakim sedangkan hampir 13 tahun tidak lagi berkhidmat di Jakim. Kehadiran saya menyampaikan kuliah agama di masjid berkenaan atas kapasiti saya sebagai ahli Sunnah dan Presiden Aswaja.
“Maka, segala kenyataan yang dibuat tiada kaitan sama sekali dengan Jakim dan mana-mana jabatan kerajaan,” tambahnya.
Zamihan mendakwa tindakan wartawan dan portal berkenaan sebenarnya membuktikan mereka bersikap anti-Islam dan tidak menghormati hak dan sensitiviti Muslim di Malaysia.
Susulan itu, Zamihan memberi tempoh tujuh hari kepada FMT, Malaymail, NSTP dan Zaid untuk menarik balik artikel berkenaan dan mengemukakan permohonan maaf kepadanya secara terbuka.
“Jika gagal berbuat demikian saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang memfitnah saya tanpa prejudis,” katanya.
Beliau turut mahu pihak berkuasa menyiasat artikel FMT dan media-media lain yang jelas berbaur hasutan dan menimbulkan kebencian antara agama serta permusuhan rakyat berbilang kaum di negara ini. – MalaysiaGazette
memanglah melampau mesin basuh islam saja. nama lagi mesin tak yang bersih saja . yang kotor lah untok dibasuh . banyak kali air tu. tak cukup dua kolah bukan ukuran mesin basuh . banyak kali tu kena fikir .islam mudah tidak memayahkan .