Menurut Ismail, yang juga bekas Ketua Hakim Mahkamah Syarie di Terengganu, usaha pemerkasaan tidak perlu tertumpu kepada wanita sahaja tetapi juga kepada golongan lelaki agar kedua-dua pihak sedar akan hak serta tanggungjawab mereka dalam melayari bahtera perkahwinan.
“Apa yang berlaku sekarang ini ialah kedua-duanya (suami dan isteri) tidak tahu atau tidak faham tanggungjawab mereka terhadap anak-anak terutamanya selepas berlaku perceraian.
“Bila mereka bercerai, yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Mereka (anak-anak) akan menjadi masalah kepada negara kerana apabila tidak terdidik, mereka akan menyumbang kepada berlakunya permasalahan sosial dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada wartawan selepas tamat forum ‘Pemerkasaan Wanita, Pemerkasaan Malaysia’ anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa (IDFR) di sini, hari ini.
Katanya sekiranya anak-anak yang tidak terdidik ini terlibat jenayah dan dipenjarakan, kerajaan juga perlu menanggung pembiayaan banduan di dalam penjara menggunakan duit rakyat, yang sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan negara.
“Masyarakat pula akan pandang serong terhadap mereka selepas dibebaskan dari penjara. Sentimen negatif ini terbentuk hanya disebabkan perceraian ibu dan bapa tersebut,” tegasnya.
Sementara itu pensyarah bidang ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Madeline Berma berkata, antara elemen penting dalam memperkasakan wanita adalah pendidikan, kemudahan asas dan bantuan.
Beliau berkata, masih berlaku ketidakseimbangan antara wanita yang tinggal di bandar dan luar bandar, antara lelaki sebagai ketua isi rumah dan wanita sebagai ketua isi rumah, di mana kita lihat isi rumah yang diketuai wanita adalah lebih bermasalah.
“Kalau kita kaji macam mana hendak membangunkan sesebuah keluarga atau masyarakat, tidak ada jalan lain selain pendidikan. Jadi wanita perlu diberikan pendidikan formal ataupun tidak formal.
“Tetapi masyarakat kita terlalu menekankan sistem pendidikan formal sehingga ada wanita yang keciciran. Jadi penting untuk golongan wanita diberikan pendidikan tidak formal supaya mereka mempunyai kemahiran (untuk menyara kehidupan),” kata Madeline yang juga bekas Pengarah ‘Tun Fatimah Institute for Women Leadership’ UKM.
Katanya lagi walaupun bantuan banyak diberikan oleh kerajaan, masih ramai wanita di luar bandar tidak tahu tentang wujudnya bantuan tersebut dan tidak tahu bagaimana ingin memohon bantuan-bantuan berkenaan.
“Sebab itu kita perlukan kerjasama pihak organisasi bukan kerajaan kerana mereka ini boleh pergi ke peringkat akar umbi dan juga sektor swasta yang boleh membantu dari segi bantuan dan kewangan.
“Jangan biarkan tanggungjawab itu hanya dibiarkan kepada kerajaan semata-mata. Oleh itu, kerjasama yang sangat erat antara semua pihak amatlah penting untuk memperkasakan wanita,” tambahnya.
Forum yang merupakan buah fikiran penuntut program Diploma Diplomasi itu turut membariskan Pengarah Asia Women Circle (ACW) Abir Abdul Rahim dan juga Pegawai Pembangunan Komuniti di Bahagian Bimbingan dan Kaunseling, Jabatan Pembangunan Wanita, Ajanis Anak Ba-I.
Turut hadir pada forum tersebut Ketua Pengarah IDFR Datuk Mohamad Sadik Kethergany.
— BERNAMA