Home Nasional SPRM mahu bersihkan perkhidmatan awam daripada gejala rasuah

SPRM mahu bersihkan perkhidmatan awam daripada gejala rasuah

Abdul Samat Kasah

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus memberi penekanan kepada pembersihan sektor perkhidmatan awam daripada gejala rasuah selain memastikan hak rakyat tidak diseleweng pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Abdul Samat Kasah berkata ini bagi meningkatkan keyakinan masyarakat kepada integriti golongan penjawat awam serta menjamin kepentingan rakyat.

Atas dasar itu, SPRM katanya tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih dalam menjalankan siasatan berkaitan rasuah termasuk melibatkan kes berprofil tinggi.

“Anggota kami sentiasa berpegang kepada prinsip bebas, telus dan profesional malah tidak pernah dipengaruhi oleh pangkat mahupun kedudukan seseorang individu yang sedang atau ingin disiasat.

“SPRM juga merupakan sebuah entiti bebas yang ‘buta warna’ iaitu kami tidak terikat dengan mana-mana parti politik sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang,” katanya ketika ditemui di Wisma Bernama hari ini.

Abdul Samat berkata prinsip asas dalam siasatan SPRM ialah tidak melihat kepada ‘siapakah pelaku’ kesalahan sebaliknya menjurus kepada ‘apakah perbuatan’ dan kesalahan yang dilakukannya.

Katanya ini dibuktikan menerusi rekod SPRM yang menunjukkan pesalah dari pada kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang telah dibawa ke muka pengadilan atas pelbagai kesalahan.

Bagaimanapun harus diakui SPRM tidak mempunyai kemampuan untuk menyiasat kesemua kes yang dikemukakan terutama melibatkan lambakan dakwaan rasuah atau salah laku yang didedahkan di laman sosial.

“Selain masalah kekurangan bukti serta saksi untuk tujuan siasatan dan pendakwaan, kita juga hanya mempunyai kira-kira 700 pegawai dari bahagian siasatan di seluruh negara justeru ia tidak mencukupi memandangkan pekerjaan ini memerlukan penggunaan masa dan tenaga kerja yang sangat banyak,” katanya.

–BERNAMA