DELHI – Seorang pegawai tentera laut India yang menjalani pembedahan jantina dihentikan daripada perkhidmatan.
Tentera Laut India dalam kenyataannya berkata, undang-undang dan peraturan tidak membenarkan pekerjanya menukar jantina.
Sabi, sebelum itu dikenali sebagai Manish Giri memberitahu akan merayu kepada mahkamah tentera berikutan pemecatannya.
Tindakan itu juga telah mencetuskan perdebatan mengenai hak transgender di India, yang mana ia diiktiraf secara sah sebagai jantina ketiga.
Sabi menyertai tentera laut pada tahun 2010 dan kemudian melakukan pembedahan jantina pada lewat tahun lalu semasa bercuti.
Semasa dia kembali bertugas, Sabi mendakwa telah terkurung di wad psikiatri selama hampir lima bulan.
“Ia seperti berada dalam penjara,” katanya yang menyertai semula tentera laut pada April dan kemudian diberhentikan pada 6 Oktober lalu.
Tentera laut India belum lagi memberi respons terhadap dakwaan tersebut.
Mahkamah India memutuskan pada tahun 2012 bahawa tiada halangan undang-undang untuk seorang lelaki dewasa menjalani pembedahan jantina. Malah Mahkamah Agung India juga mengiktiraf transgender sebagai jantina ketiga pada tahun 2014.
“Saya bukan penjenayah, saya tidak melakukan apa-apa yang salah, saya hanya mendedahkan identiti saya yang sebenar,” kata Sabi.
Tetapi pakar undang-undang mengatakan bahawa transgender di India berada dalam keadaan yang aneh: Di satu pihak, mereka diiktiraf secara sah dan dilindungi di bawah Perlembagaan, tetapi dihukum kerana melanggar undang-undang jika mereka gay.
Menurut undang-undang zaman penjajahan yang sudah berusia 153 tahun, hubungan seks yang sama adalah “kesalahan luar biasa” dan boleh dihukum 10 tahun penjara. – MalaysiaGazette