Home Nasional Gaji minimum baharu diumum tahun hadapan

Gaji minimum baharu diumum tahun hadapan

Richard Riot

PUTRAJAYA – Gaji minimum baharu bagi Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan akan diumumkan pada tahun hadapan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Langkah itu adalah bagi merapatkan jurang gaji minimum swasta agar ia dapat diselaraskan, yang mana kadar gaji minimum bulanan pekerja di Semenanjung Malaysia adalah RM1,000 manakala RM920 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan, katanya.

Beliau berkata Majlis Perundingan Gaji Negara (MGPN) sudah mula menyediakan perancangan untuk mengkaji semula Perintah Gaji Minimum 2016 bagi membolehkan kerajaan menetapkan kadar gaji minimum baharu selaras dengan perkembangan sosio ekonomi semasa negara.

“Kita tahu perintah gaji minimum hendaklah dikaji sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun. Proses kajian semula ini untuk melihat kepada keupayaan majikan membayar gaji merupakan satu tanggungjawab yang sangat mencabar dalam memastikan dasar gaji minimum memenuhi semua objektif.

Dengan penubuhan kumpulan penyelidik gaji dan gaji minimum ini, ia akan memberi kesan positif bagi membolehkan kerajaan menyediakan perlindungan sosial yang mencukupi kepada pekerja di seluruh negara. Penguatkuasaan gaji minimum adalah aspek penting untuk memberi manfaat kepada warta pekerja terutama golongan berpendapatan rendah dalam kategori B40,” katanya.

Riot berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada 25 anggota Majlis Perundingan Gaji Negara yang dilantik bagi tempoh 1 Okt tahun ini hingga 30 Sept 2020 bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar gaji minimum.

Menurutnya, jurang merapatkan gaji minimum antara pekerja di Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak dan Labuan semakin boleh direalisasikan dengan lantikan buat kali pertama dua anggota MPGN masing-masing daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah.

“Semakan itu mengambil kira bebanan kos sara hidup, di samping kos operasi yang perlu ditanggung majikan yang berjaya mengurangkan jurang pendapatan di Malaysia. Kalau dahulu, gaji minimum di Semenanjung adalah RM900 manakala Sabah, Sarawak dan Labuan ialah RM800. Pada 2016, kita kurangkan jurang itu (apabila gaji minimum dinaikkan) kepada RM1,000 (Semenanjung) dan RM920 ( Sabah, Sarawak dan Labuan).

“Pada satu hari nanti, gaji dua kategori ini akan sama. Itulah yang sedang dikaji oleh Jawatankuasa Teknikal Penyelarasan Gaji dan MGPN sebelum dibentangkan kepada Kabinet,” katanya.

Dalam pada itu, Riot berkata setakat Jun ini, sebanyak 98 peratus majikan daripada 142,151 pemeriksaan berkanun yang telah dibuat oleh Jabatan Tenaga Kerja didapati telah mematuhi Perintah Gaji Minimum.

— BERNAMA