Home Ekonomi Harga minyak dunia jatuh semula

Harga minyak dunia jatuh semula

Gambar hiasan

NEW YORK – Harga minyak merosot hari ini selepas inventori bahan api Amerika Syarikat meningkat.

Niaga hadapan mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat didagangkan pada AS$51.08 setong pada 0112 GMT, turun AS$0.22 atau 0.4 peratus.

Harga minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa berada pada paras AS$ 56.62 setong, turun 0.6 peratus dari harga penutup.

OPEC dan pengeluar-pengeluar minyak dunia termasuk Rusia telah bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.8 juta tong sehari untuk melonjakkan harga.

Harga minyak dunia menjunam kepada sekitar AS$30 hingga AS$40 setong pada akhir tahun lalu dan awal tahun ini.

Sekatan pengurangan itu, bagaimanapun tidak menjejaskan bekalan kerana pengeluaran minyak Amerika Syarikat meningkat.

Situasi itu menyebabkan OPEC melanjutkan pengurangan bekalan minyak sehingga suku pertama tahun depan.

“OPEC sebenarnya tidak ada pilihan tetapi melanjutkan pemotongan kecuali berpuas hati terhadap risiko kejatuhan harga kepada AS$40 setong sekali lagi,” kata Pengarah Urusan Dagangan Komoditi RCMA Group, David Maher.

Dengan pengurangan bekalan oleh OPEC tetapi kenaikan pengeluaran oleh Amerika Syarikat, pasaran dijangka hanya boleh mencapai keseimbangan pada tahun 2018 dan 2019, dengan jangkaan harga Brent melantun antara AS$50 hingga AS$60 setong.

“Pada masa ini, risiko kenaikan utama adalah sekatan baharu terhadap Iran dan isu-isu Venezuela, sementara risiko penurunan adalah OPEC melanjutkan kawalan pengeluaran tidak dipanjangkan atau pematuhan yang lemah akan menyebabkan pelanggaran kesepakatan atau permintaan yang lebih lemah,” kata Maher.

Presiden Donald Trump mengancam untuk mengenakan sekatan terhadap Iran kurang daripada dua tahun selepas ia ditarik balik di bawah perjanjian 2015.

Ancaman itu dibuat selepas perjanjian Iran untuk menggantung program nuklearnya dipertikaikan.

Stok minyak mentah Amerika Syarikat naik 3.1 juta tong kepada 468.5 juta tong minggu lepas, menurut Institut Petroleum Amerika.

Data inventori oleh Agensi Maklumat Tenaga dijangka dikeluarkan hari ini. – MalaysiaGazette