KUALA LUMPUR – Polis akan memperluaskan penggunaan Sistem Lokap Pintar Teknologi Pelaporan Analitik Pemantauan Sendiri atau ‘SMART Lokap’ ke seluruh negara.
Namun, pihak berkuasa keselamatan itu tidak menetapkan jangka masa untuk pelaksanaannya.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya sedang menagih peruntukan menerusi Bajet 2018 untuk merealisasikan hasrat tersebut.
“Kita akan memohon peruntukan kerajaan untuk tujuan itu, dan setakat ini 57 sel lokap di Lembah Klang dengan penyelenggaraan menelan belanja RM3.3 juta sejak dilaksanakan dari Jun 2016.
“Kalau hendak dilaksanakan peringkat daerah di seluruh negara, semestinya menelan belanja yang besar, jadi kita akan memohon peruntukan mulai tahun ini.
“Jika kami dapat peruntukan itu dari kerajaan, pemasangan lokap pintar akan dilakukan mengikut keutamaan lokap, contohnya kalau di Perak antaranya di Ipoh dan Taiping, Georgetown dan Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang yang akan memakan beberapa tahun lagi untuk dilaksanakan sepenuhnya,” kata beliau.
Beliau menyatakan demikian selepas majlis penyerahan sistem SMART Lokap di Bukit Jalil hari ini.
Smart Lokap dibangunkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi penyelidikan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (MIMOS) dan rakan strategi, STT Technologies Sdn. Bhd. dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Menurutnya, MIMOS mengemukakan cadangan inovasi teknologi terbaharu untuk memantapkan keselamatan dalam lokap.
“Sejak kita memasang sistem ini, bilangan kejadian yang tidak diingini dalam sel lokap telah menurun dan sekalipun ia berlaku, masa yang diambil oleh anggota kita untuk mendapatkan data bagi siasatan forensik jauh lebih singkat berbanding dengan menggunakan Kamera Litar Tertutup (CCTV) konvensional.
Jelasnya, dalam sistem lokap pintar, kamera yang dipasang akan membolehkan polis memantau melalui bilik khas dan dapat menyelia segala pergerakan luar biasa dari dalam dan luar lokap.
“Di lokap jinjang yang mempunyai 60 sel dipusatkan tiga tingkat, kita hanya perlu memantau dari bilik khas yang disediakan dengan sistem pintar yang mampu ‘mengesan’ apa jua pergerakan luar biasa atau agresif dalam lokap.
“Selain itu juga difahamkan bahawa teknologi itu dihubungkan dengan pengecaman nombor plat kenderaan yang mana kita dapat mengesan kereta dan anggota yang masuk keluar menerusi pusat data yang ditetapkan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, sistem itu turut membantu polis merancang penugasan anggota secara efisien dan memberi gambaran insiden sebenar yang berlaku dalam lokap seperti kematian dan membantu polis menjadikannya sebagai bukti di mahkamah.
Sementara itu, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Yahayaberkata, sistem SMART Lokap memberi poenekanan terhadap penggunaan teknologi terkini. – MalaysiaGazette.