SEOUL – Samsung Electronics Co. Ltd. memberitahu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Pengerusinya, Kwon Oh-hyun telah meletak jawatan daripada barisan pengurusan.
Peletakan mengejut itu berlaku selepas Kwon diramalkan mengambil peranan lebih besar susulan penahanan pewaris Samsung Group Jay Y. Lee pada Februari atas tuduhan rasuah serta pemergian beberapa eksekutif utama yang lain.
“Saya percaya masanya sudah tiba untuk syarikat bermula dengan semangat baharu dan kepimpinan muda bagi menghadapi cabaran dengan lebih baik.
“Kita bernasib baik kerana berjaya mencatatkan rekod perolehan yang baik ketika ini tetapi ia sebenarnya adalah hasil daripada keputusan dan pelaburan lampau.
“Kita tidak mampu untuk menemui enjin pertumbuhan baharu dengan meramalkan trend masa hadapan ketika ini,” katanya yang dilihat sebagai orang No. 2 Samsung Group dalam satu kenyataan.
Ketua Eksekutif firma Chaebul.com, Chung Sun-sup berkata, beliau terkejut dan hairan mengenai tindakan Kwon meninggalkan jawatannya meskipun syarikat merekodkan keuntungan.
“Saya juga bimbang mengenai kelompongan dalam kepimpinan buat masa ini apabila Lee tiada dalam barisan pengurusan,”katanya.- MalaysiaGazette