Home Dunia Hamas dan Fatah capai perjanjian damai

Hamas dan Fatah capai perjanjian damai

MESIR – Hamas memaklumkan ia telah mencapai perjanjian perdamaian kebangsaan dengan Fatah yang akan menamatkan sengketa selama sedekad di Palestin.

“Kedua-dua pihak bersetuju dengan syarat untuk berdamai yang ditaja kerajaan Mesir,” kata jurucakap Hamas dalam satu kenyataan semalam.

Delegasi daripada kedua-dua belah pihak itu mengadakan pertemuan di Kaherah bermula Selasa lalu untuk menyelesaikan butiran penyerahan pentadbiran termasuk keselamatan di Genting Gaza dan lintasan sempadan.

Melalui perjanjian itu, seramai 3,000 anggota keselamatan Fatah akan menyertai pasukan polis di Gaza.

Hamas dan Fatah berharap perjanjian penempatan pasukan keselamatan Fatah yang dipimpin Pihak Berkuasa Palestin (PA) di sempadan Gaza akan menggalakkan Mesir dan Israel untuk menarik semula sekatan mereka di laluan sempadan, sekali gus ia dapat membantu memulihkan ekonomi di wilayah tersebut.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Presiden Palestin Mah­moud Abbas akan melawat Gaza buat pertama kali dalam tempoh sedekad pada bulan ini.

“Beliau akan berada di Gaza tidak lama lagi,” kata pemimpin kanan Fatah, Zakarian al-Agha.

Mahmoud tidak melawat Gaza sejak pasukan pihak berkuasa Pa­lestin diusir oleh Hamas pada 2007.

Bulan lalu, Hamas mengumumkan langkah-langkah yang diambil pihaknya bagi mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Perselisihan faham antara Hamas dan Fatah selama ini hanya menguntungkan rejim zionis Israel yang didakwa sengaja mencetuskan krisis tersebut bagi memboleh­kan mereka terus menindas serta menzalimi rakyat Palestin.

Pertemuan di Kaherah merupakan satu usaha melaksanakan Perjanjian Kaherah 2011 antara kedua-dua belah pihak, dengan harapan untuk mengakhiri perpecahan politik selama 10 tahun.- MalaysiaGazette