KUALA LUMPUR – Ayied Saharin, 25, peserta program realiti Gang Starz musim kedua pada 2008 akhirnya berjaya menghasilkan single pertama berjudul ‘Serindu’ hasil nukilan komposer Rosli Selasih.
Dilahirkan dalam keluarga seni dengan ibunya Laila Saharin merupakan finalis program realiti Kilauan Emas musim kelima, usahanya untuk menceburi industri muzik tanah air mengambil masa hampir sedekad sebelum dipinang untuk menghasilkan lagu tersebut.
Anak kelahiran Pasir Gudang, Johor dan membesar di Banting, Selangor, Ayied tidak pernah berputus asa dalam menggilap bakat nyanyiannya dengan membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan dan makan malam bersama-sama kumpulannya yang dikenali sebagai Rancaxx di sekitar Banting.
Malah, beliau yang aktif dalam bidang nyanyian sejak berusia 16 tahun, tidak kisah jika dirinya dianggap sebagai penyanyi jalanan kerana dari situlah katanya, beliau banyak belajar dan mengasah bakat nyanyiannya sehingga berjaya bergelar artis rakaman.
“Sebenarnya kalau orang kata saya penyanyi jalanan pun saya tak kisah kerana ia juga kerja halal dan bukannya saya merompak. Apa yang penting adalah niat saya untuk tunjukkan anugerah yang Tuhan bagi kepada saya,”katanya selepas menjadi tetamu program ‘Nine 11’ terbitan Bernama News Channel semalam.- BERNAMA