Home Utama Nelayan mahu guna dron ‘tangkap’ bot pukat tunda

Nelayan mahu guna dron ‘tangkap’ bot pukat tunda

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Mohd Radzi Mahmud bercakap kepada MalaysiaGazette di jeti Sungai Sembilang, Jeram, Kuala Selangor, baru-baru ini.

KUALA SELANGOR – Sekumpulan nelayan dari jeti Sungai Sembilang, Jeram di sini nekad untuk menggunakan dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi ‘menangkap’ sendiri aktiviti pengusaha bot pukat tunda yang menceroboh kawasan pesisir pantai yang didakwa menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Sungai Sembilang, Mohd Radzi Mahmud berkata, masyarakat nelayan di situ tidak boleh bersabar dengan sikap ‘lanun’ itu yang terus merompak hasil laut mereka.

“Sebab itu kita pakat nak beli dron, kita rakam video kegiatan bot pukat tunda ini. Kalau anak-anak nelayan yang pandai kendalikan dron itu, kita suruh mereka saja tangkap bot pukat tunda ini

“Kita tiada pilihan lain, sebab itu terpaksa ambil tindakan sendiri dengan pantau guna dron,” katanya kepada MalaysiaGazette yang ditemui di jeti Sungai Sembilang, di sini, baru-baru ini.

Mohd Radzi berkata, dron adalah pilihan terakhir untuk mencari bukti pencerobohan itu yang bermaharajalela di pesisir pantai Jeram susulan tiada tindakan tegas daripada agensi penguatkuasa sejak beberapa tahun lalu.

“Siapa nak pantau pukat tunda ini. Kalau telefon Jabatan Perikanan, memang tiada, nak telefon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sama saja layanannya.

“Pemilik bot pukat tunda dan pukat harimau ini dia lebih cerdik, nombor bot ditutup, macam mana kita nak tangkap, mereka kerja malam, sekali keluar mereka bawa hingga tujuh bot pukat tunda.

“Sampai satu peringkat saya fikir baik kita beli satu dron untuk nelayan Sg Sembilang, kita nak ambil gambar dan video. Kita ini sampan kecil, kena ombak dari bot dia, kita boleh terbalik,” ujarnya.

Katanya lagi, agensi penguatkuasa kerajaan perlu memantau aktiviti bot pukat tunda walaupun banyak laporan dibuat nelayan namun tindakan mereka sangat mengecewakan.

“Sekarang ini susah sikit, bila bagi maklumat (bot pukat tunda beroperasi) tapi penguatkuasa tak turun,

“Sekarang ini lagi senang, main telefon bimbit saja, mereka terus hilang dalam masa setengah jam,” dakwanya.

Sementara itu, seorang lagi nelayan yang ditemui MalaysiaGazette, Abdullah Mahmud turut berkongsi kisah duka yang sama di mana insiden pencerobohan itu bukan perkara baharu kerana tiada tindakan penguatkuasaan dilakukan.

Nelayan Abdullah Mahmud yang ditemui MalaysiaGazette di jeti Sungai Sembilang, Jeram, Kuala Selangor, baru-baru ini.

“Tiada tindakan balas, bukan sebulan bukan setahun, tapi perkara ini sudah berpanjangan, sudah lama. Kalau mereka masuk ke kawasan zon yang dilarang untuk bot pukat tunda, kami nelayan tepi pantai yang akan menderita

“Kalau biasanya kita boleh dapat RM300 hingga RM400 untuk satu malam, bila mereka bersaing tiga empat bot sekali jalan, esok lusa kami mungkin dapat RM40, dapat duit minyak saja.

“Kalau boleh kerajaan kena ambil tindakan bagaimana nak mengatasi bot-bot pukat tunda ini. Kalau kami nak bertindak sendiri pun tak boleh, negara kita ada undang-undang,” katanya lagi. -MalaysiaGazette