Home Nasional Tun M dijemput bertemu sendiri mangsa Ops Lalang

Tun M dijemput bertemu sendiri mangsa Ops Lalang

Tun Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Jemputan sudah dihantar kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertemu dengan mangsa-mangsa yang ditahan dalam Operasi Lalang pada 1987 dimana ketika itu beliau adalah perdana menteri.

NGO hak asasi manusia, SUARAM menghantar sendiri jemputan itu kepada Mahathir untuk menghadiri forum bertajuk Operasi Lalang 1987: My Side of History dimana mangsa-mangsa tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan hadir untuk berkongsi pengalaman mereka.

“Kami sudah menghantar surat jemputan kepada Mahathir dan pegawai atasan waktu itu yang terlibat secara aktif dalam Operasi Lalang,” kata Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy dalam satu sidang media hari ini.

Sevan berharap sangat agar Pengerusi Pakatan Harapan itu hadir bagi menceritakan kisah sebenar daripada sudut pandangan kerajaan waktu itu menggunakan ISA untuk menahan ramai individu yang terdiri daripada ahli politik, ahli akademik dan para aktivis sosial.

“Kami harap salah seorang daripada mereka akan hadir supaya dapat menceritakan kisah daripada sudut mereka sendiri tentang apa sebenarnya yang berlaku semasa Operasi Lalang itu,” katanya lagi.

Setakat ini, individu yang sudah mengesahkan kehadiran adalah Dr. Kua Kia Song, Dr. Nasir Hashim dan Mohamad Sabu dimana mereka semua adalah mangsa operasi tersebut.

Pada awalnya, forum tersebut sepatutnya diadakan pada 28 Oktober, bagaimanapun ditukar pada 29 Oktober semata-mata untuk memenuhi permintaan Mahathir kerana tidak dapat hadir pada tarikh asal.

“Dari pihak Mahathir, beliau tidak dapat hadir pada 28 Oktober jadi kami tukar ke 29 Oktober. Maka kami harap dapat respon yang positif daripada beliau,” ujarnya lagi.

Selain Mahathir, pihak penganjur juga menghantar surat jemputan kepada bekas Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Haniff Omar. – MalaysiaGazette