BATU PAHAT – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) diarahkan tidak perlu lagi buang masa berurusan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Jakim juga, titah Sultan Ibrahim, tidak lagi perlu memberi pandangan kepada negeri Johor.
Pada masa sama, baginda turut mengingatkan supaya JAINJ supaya semak dan pantau penceramah yang bercakap di negeri Johor dan jika ada yang tidak betul tauliah mereka perlu dibatalkan.
“Semua orang harus tahu urusan agama adalah di bawah kuasa negeri sebagaimana termaktub di dalam perjanjian persekutuan.
“Jangan kerana kesilapan seorang individu merosakkan perjanjian yang telah dibuat, ibarat kata pepatah kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” titah Sultan Ibrahim ketika Majlis Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kali ke-17 di sini hari ini.
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) yang juga Pegawai Kader Jakim, Dr. Zamihan Mat Zin didakwa mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam satu ceramah di Shah Alam, Ahad lalu.
Sultan Ibrahim turut memberi nasihat supaya menjaga adab dan tutur kata apabila bercakap dan jika mahu memberikan pandangan sekali pun, baginda akan dengar tetapi bukan dengan cara yang kurang ajar.
“Beberapa orang mufti dan pakar agama telah keluarkan pandangan dan hujah mereka berkaitan perkara ini, namun malangnya ada pula seorang penceramah bernama Ustaz Zamihan Mat Zin yang mengkritik tindakan saya dan memperlekeh mufti-mufti tersebut.
“Gaya cakapnya sangat angkuh dan sombong seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain. Saya anggap dia hanya seperti tin kosong yang tak ada otak.
“Kalau betul dia penceramah Jakim saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia. Selepas ini juga saya mengarahkan JAINJ tidak perlu lagi buang masa berurusan dengan Jakim,” titah baginda. – MalaysiaGazette