Home Politik Mat Sabu boleh jerit atas pentas, saya hanya jual ikan – Jamal

Mat Sabu boleh jerit atas pentas, saya hanya jual ikan – Jamal

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos (kiri) menunjukkan ikan cencaru seberat 2 kilogram dalam program Jualan Ikan Harga Patut di Meru, Klang, pagi tadi.

KLANG – Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu bebas untuk berceramah di atas pentas dalam Himpunan Anti-Kleptokrasi yang akan diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya, hari ini.

Bagaimanapun Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos menegaskan beliau tetap meneruskan program jualan ikan harga patut di lokasi sama tanpa mengganggu mana-mana pihak.

“Program yang saya lakukan ini tidak ganggu sesiapa pun. Mereka nak berhimpun mereka punya pasal. Mat Sabu nak menjerit atas pentas dia punya pasal.

“Saya hanya bawa ikan dan jual ikan saya tak nak ganggu sesiapa pun. Saya yakin ramai datang PJ bukan bertujuan mendengar ceramah perhimpunan yang mereka anjurkan tapi datang kerana nak beli 10 tan ikan yang saya bawa,” katanya kepada pemberita di Meru, di sini, hari ini.

Terdahulu Jamal dinasihatkan tidak mencetuskan provokasi dengan menjual ikan ketika himpunan anti-kleptokrasi dianjurkan Pakatan Harapan, petang ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, sekiranya berdegil, ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu boleh dikenakan tindakan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

Mengulas lanjut, Jamal menyambut baik larangan pihak polis berkenaan namun tugas beliau menjual ikan pada harga patut merupakan tanggungjawabnya kepada rakyat.

“Amaran daripada polis itu saya sambut baik kerana polis melakukan tanggungjawab mereka untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

“Saya niaga ikan untuk kepentingan orang ramai, memberikan harga ikan yang murah ataupun harga patut kepada orang ramai.

“Apa pun mereka lakukan terhadap saya petang nanti di Petaling Jaya saya sedia menghadapinya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.