Home Utama Sultan maafkan Zamihan, anggap dia seperti tin kosong tak ada otak

Sultan maafkan Zamihan, anggap dia seperti tin kosong tak ada otak

Gaya cakapnya sangat angkuh dan sombong seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain. Saya anggap dia hanya seperti tin kosong yang tak ada otak.

Zamihan Mat Zin

BATU PAHAT – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar memaafkan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jaamah (Aswaja), Dr. Zamihan Mat Zin kerana mengkritik baginda dalam satu ceramah di Shah Alam Ahad lalu.

Sultan Ibrahim turut memberi nasihat supaya menjaga adab dan tutur kata apabila bercakap dan jika mahu memberikan pandangan sekali pun, baginda akan mendengar tetapi bukan dengan cara yang kurang ajar.

“Walau bagaimanapun saya tidak mahu perkara itu dipanjangkan…saya maafkan beliau.

“Nasihat saya jagalah adab dan tutur kata bila bercakap di khalayak ramai. Kalau hendak beri pandangan pada saya pun, saya akan dengar tetapi bukan cara yang kurang ajar,” titah Sultan Ibrahim ketika Majlis Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kali ke-17 di sini hari ini.

Menurut Sultan Ibrahim, beberapa orang mufti dan pakar agama telah mengeluarkan pandangan dan hujah mereka berkaitan perkara tersebut, namun malangnya ada pula seorang penceramah bernama Ustaz Zamihan Mat Zin yang mengkritik tindakan baginda dan memperlekeh mufti-mufti tersebut.

“Gaya cakapnya sangat angkuh dan sombong seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain. Saya anggap dia hanya seperti tin kosong yang tak ada otak.

“Kalau betul dia penceramah Jakim saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia. Selepas ini juga saya mengarahkan JAINJ tidak perlu lagi buang masa berurusan dengan Jakim,” titah baginda. – MalaysiaGazette