PERTH – Pesawat AirAsia Indonesia terpaksa berpatah balik ke Australia selepas juruterbang memaklumkan kemungkinan kehilangan tekanan di kabin.
Penerbangan QZ535, yang dalam perjalanan ke Bali, Indonesia, terpaksa berpatah balik selepas 25 minit berada di udara.
Airbus A320, yang membawa 151 orang penumpang selamat mendarat di Lapangan Terbang Perth.
Syarikat penerbangan itu memaklumkan pesawat berkenaan berhadapan dengan masalah teknikal.
“Apa yang kami buat adalah mengucapkan selamat tinggal, ia adalah sesuatu yang menyedihkan,” kata seorang penumpang kepada Nine network.
Rakaman video atas pesawat yang disiarkan media tempatan menunjukkan topeng oksigen dijatuhkan dan seorang individu menjerit meminta penumpang tunduk ke bawah.
Seorang penumpang, Claire Askew berkata, situasi panik timbul selepas kakitangan AirAsia menjerit dan menangis.
AirAsia dalam kenyataannya memohon maaf kepada para penumpang disebabkan ketidakselesaan itu tetapi tidak mengulas punca kejadian.
“AirAsia komited sepenuhnya ke atas keselamatan penumpang,” katanya dalam kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette