PORTUGAL – Kebakaran hutan di tengah dan utara Portugal yang bermula hujung minggu lalu telah mengorbankan 31 orang manakala lebih 50 lagi dilaporkan cedera.
Daripada jumlah kecederaan itu, 15 mangsa dalam keadaan serius dan beberapa orang lagi didakwa hilang termasuk seorang bayi berusia sebulan.
Pihak berkuasa berkata, puluhan daripada 145 kebakaran masih marak dan serius.
Di utara Portugal, kebakaran yang bermula dari sempadan di rantau Galicia, Sepanyol telah mengorbankan tiga nyawa.
Beribu-ribu bomba sedang giat memadamkan kebakaran yang disebabkan oleh musim panas dan kering.
Keadaan itu disukarkan lagi oleh Taufan Ophelia yang kini sedang melanda perairan barat Eropah kerana membawa angin kuat.
Situasi itu mendorong kerajaan mengisytiharkan darurat di utara Portugal. Kebanyakan jalan raya dan sekolah ditutup.
Di Sepanyol pula, dua mangsa ditemui rentung dalam kereta yang terbakar di tepi jalan. – MalaysiaGazette