Home Nasional Malaysia terima 3 cadangan sambung semula cari pesawat MH370

Malaysia terima 3 cadangan sambung semula cari pesawat MH370

Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Tiga syarikat telah mengemukakan cadangan menawarkan diri untuk menyambung semula pencarian pesawat MH370 milik Malaysia Airlines kepada kerajaan Malaysia

Ketiga-tiga syarikat itu ialah Ocean Infinity (Amerika Syarikat), Fugro (Belanda) dan sebuah syarikat tempatan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Ting Lai berkata, hanya Ocean Infinity yang mengemukakan cadangan tanpa mengenakaan kos dalam menyambung semula pencarian pesawat malang itu.

“Ia kini hanya pada peringkat cadangan (pencarian semula pesawat MH370),” katanya di sini hari ini.

Laporan The West Australian hari ini menyatakan tawaran yang dikemukakan Ocean Infinity dipercayai menjadi pilihan kerajaan Malaysia menyambung semula pencarian pesawat MH370 setelah usaha mencarinya selama dua tahun menemui kegagalan.

Pencarian pesawat tersebut yang hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang digantung pada Januari lalu.

Sebuah kumpulan yang memberi sokongan kepada waris mangsa, Voice370 berkata, di bawah terma tawaran yang dilakukan pada April lalu, Ocean Infinity mungkin diberi hadiah jika dan hanya jika ia menemui medan serpihan utama.

Menurut Tiong Lai, kumpulan pakar akan memberi beberapa input sebelum pihaknya mengkaji cadangan yang dikemukakan itu.

Tiong Lai berkata, selepas itu, pihaknya akan mendapat maklum balas daripada mesyuarat tripartite yang dianggotai tiga buah negara iaitu, China, Australia dan Malaysia sebelum membuat sebarang keputusan menyambung semula pencarian pesawat MH370. – MalaysiaGazette