KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatatkan kedudukan sebagai universiti ke-158 terbaik Asia melalui laporan Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2018 selepas melonjak 23 tangga.
QS juga menyenaraikan UiTM sebagai antara 1.3 peratus universiti teratas di Asia.
Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, UiTM konsisten menunjukkan peningkatan kedudukan dan secara keseluruhannya melonjak 43 tempat sejak 2013 dan 2014.
Dengan mengambil kira terdapat lebih kurang 11,900 universiti di seluruh Asia, pencapaian ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan buat UiTM dan negara, katanya.
“Jika dibandingkan dengan laporan tahun 2017, UiTM telah menunjukkan peningkatan markah dalam tujuh daripada sepuluh penunjuk utama yang diambil kira oleh penarafan berkenaan.
“Antara penunjuk utama yang banyak menunjukkan peningkatan adalah reputasi majikan iaitu sebanyak 55.7 markah pada tahun ini berbanding 44.8 markah bagi tahun 2017, sekali gus meletakkan UiTM pada kedudukan ke-82 di Asia berbanding ke-114 bagi tahun 2017,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Keputusan ini menunjukkan tahap kebolehpasaran graduan UiTM yang tinggi dan kepercayaan oleh pihak industri bahawa graduan yang dihasilkan oleh universiti ini adalah berkualiti tinggi dengan memenuhi keperluan skil dan pengetahuan masa kini.
Tambah Hassan, pencapaian ini juga selaras dengan laporan Penarafan Kebolehpasaran Graduan Dunia QS 2018 yang dikeluarkan baru-baru ini dengan menyenaraikan UiTM adalah antara 500 Institut Pengajian Tinggi Dunia (kedudukan 301-500) dan antara tiga institusi terbaik di Malaysia.
Katanya, penambahan purata bilangan penerbitan saintifik bagi setiap ahli akademik dan peningkatan produktiviti penyelidikan oleh Institut Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (IRMI) di UiTM menyumbang kepada peningkatan kedudukan di tangga ke-266 berbanding ke-278.
Hassan berkata, pelbagai langkah strategik telah dikenal pasti dan dijalankan bagi memastikan peningkatan lebih baik bagi laporan tahun 2019 antaranya, menjalankan kempen keterlihatan UiTM supaya lebih menyerlah dalam kalangan para akademik dunia.
Beliau menambah, UiTM juga akan melebar luas lagi hubungan strategik dengan pihak industri bagi mendapatkan maklum balas dan input secara langsung terhadap pembangunan akademik UiTM.
Ini akan membantu memastikan kurikulum yang dihasilkan adalah lebih dinamik agar dapat melahirkan profesional Bumiputera yang mengisi pelbagai bidang kritikal di peringkat nasional dan seterusnya mempertingkatkan penyertaan Bumiputera dalam arena ekonomi Malaysia.
Beliau turut mengucapkan setinggi tahniah kepada seluruh warga UiTM atas sumbangan yang diberikan ke arah mencapai kejayaan dalam penarafan ini.
“Peningkatan yang membanggakan ini adalah gambaran sebenar kualiti yang terbaik di UiTM. UiTM akan terus komited untuk bergerak lebih maju ke hadapan bagi memacu institusi untuk sentiasa menjadi antara universiti terbaik negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette