KUALA LUMPUR – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Seri Mah Siew Keong yakin partinya akan mendapat keputusan yang lebih baik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berbanding sebelumnya.
Keyakinan itu, katanya, ekoran gerak kerja yang dilakukan pihaknya di Pulau Pinang selama empat tahun kebelakangan ini memainkan pernan penting untuk menarik semula kayakinan pengundi.
Justeru, tambahnya, rakyat negeri yang ditadbir oleh kerajaan negeri bawah DAP itu sedia untuk memberi peluang kepada Gerakan menjadi sebahagian besar daripada wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
“Kita (Gerakan) tidak boleh bagi sasaran yang tepat tetapi saya yakin Gerakan di Pulau Pinang akan mendapat keputusan yang lebih baik berbanding dengan PRU lepas. Dulu kita akui, agak teruk, kita tidak mendapat apa-apa kerusi.
“Organisasi Gerakan di Pulau Pinang sudah kuat, selama empat tahun ini selama ini Gerakan telah memainkan peranan yang penting di Pulau Pinang, mereka memainkan peranan sebagai pemerhati kepada kerajaan negeri.
“Saya pasti pengundi Pulau Pinang akan beri peluang kepada kami supaya ada wakil di DUN Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media disini petang tadi.
Pada PRU ke-14, katanya, Gerakan bakal meletakkan seramai 17 calon yang terdiri daripada 13 calon DUN dan empat kerusi Parlimen.
Terdahulu, Gerakan mengumumkan tiga nama calon partinya yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada PRU-14.
Ketiga-tiga calon tersebut merupakan antara 45 senarai nama calon yang berpotensi bertanding mewakili parti itu bagi kerusi Parlimen dan DUN telah dihantar untuk tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebelum dimuktamadkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak.
Dalam perkembangan sama, Siew Keong turut mengumumkan bahawa partinya tidak mengadakan pemilihan di peringkat parti bagi tahun ini. Pemilihan itu sebaliknya akan selepas PRU-14.-MalaysiaGazette