Home Nasional “Saya mahu lupa kisah hitam di Medan” – Nurul Farhana

“Saya mahu lupa kisah hitam di Medan” – Nurul Farhana

Ibu, Normah Yusof, (kiri) memeluk erat cucu Askara Alfatih Ali (tengah) yang merupakan anak kepada Nurul Farhana (kanan) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang selepas 2 tahun melarikan diri bersama seorang warga Indonesia. foto HAZROL ZAINAL, 20 OKTOBER 2017.

SEPANG – Nurul Farhana Ahmad, 25, warga Malaysia yang menghilangkan diri selama lebih setahun di Medan, Indonesia tidak mahu mengenang sejarah hitamnya di negara itu setelah ditinggalkan suami.

Berkata kepada wakil media, Nurul Farhana memberitahu, hidupnya sengsara di sana tanpa pertolongan daripada mana-mana pihak.

Malah kehidupan yang daif dan serba kekurangan menyebabkannya nekad untuk pulang ke Malaysia.

“Saya nak lupa semua kisah-kisah saya disana,” katanya sebaik tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) tepat jam 4 petang tadi.

Dengan nada sebak, Nurul Farhana berkata, beliau tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada suaminya untuk memberikan nafkah kepadanya dan anak sulungnya.

“Saya tak bekerja, cuma duduk rumah sahaja. Saya gembira sebab dapat balik ke Malaysia,” tambah wanita berasal dari Sekinchan, Selangor itu.

Nurul tiba bersama Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Zohdi dan turut membawa pulang anak lelakinya, Askara Fateh Ali berusia setahun tiga bulan.

Semuanya bermula apabila Nurul Farhana nekad menghubungi ibunya di Sekinchan menceritakan pengalaman hidup yang perit di sana.

Dengan bantuan Budiman, akhirnya Nurul Farhana berkata kembali ke tanahair.

“Saya ingat nombor telefon emak. Jadi saya nekad telefon dan beritahu keadaan saya disana.

“Ini kali pertama jumpa emak setelah saya hilang selama dua tahun. Kalau saya tidak telefon emak, tidak tahu saya boleh balik sini bila,” cerita Nurul Farhana lagi. -MalaysiaGazette.