Home Nasional Tanah Runtuh: Kejadian begitu pantas, kata mangsa

Tanah Runtuh: Kejadian begitu pantas, kata mangsa

Anggota Bomba dan Penyelamat bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah hari ini. Kira-kira 20 pekerja tapak pembinaan dipercayai tertimbus dalam kejadian itu dan setakat 11 pagi tadi dua mangsa telah ditemui. -- fotoBERNAMA

GEORGE TOWN – Beberapa pekerja binaan rakyat Bangladesh yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah hari ini, berkata kejadian itu berlaku amat pantas, hanya kira-kira seminit sahaja, mengakibatkan antara 15 dan 20 orang dipercayai tertimbus manakala dua lagi berjaya dikeluarkan.

“Ketika kejadian saya sedang pasang besi dan masa nak naik ambil besi saya nampak tanah di bahagian atas sana turun (runtuh) dan bunyi bising.

“Satu minit sahaja, pantas…kawan-kawan saya dalam lapan orang kat bawah tak sempat lari. Tak tau hidup ke mati,” kata Mohammad Jashim Hussein Ahmad, 27, seorang daripada pekerja di tapak pembinaan itu.

Kejadian dilapor pada pukul 8.57 pagi dan ketika ini kerja-kerja mencari dan menyelamat masih dijalankan oleh pasukan bomba dan penyelamat serta polis.

Menurut laporan awal bomba, kejadian tanah runtuh itu melibatkan kawasan pembinaan bangunan yang sedang dibina dengan kecerunan tanah dianggar 10 meter. Ketika kejadian cuaca baik.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai dilihat berkumpul di sekitar kawasan itu dengan polis meletakkan garisan keselamatan kira-kira 100 meter dari kawasan runtuhan bagi menghalang orang ramai memasuki kawasan itu.

Seorang lagi pekerja, Mohd Awal Jafra Alma berkata adiknya, Mohd Abdul Rahman, 18, yang baru bekerja di tapak pembinaan itu, dipercayai masih tertimbus.

“Kawan bagitau dalam pukul 8 lebih…saya tak tau adik hidup ke mati…saya akan tunggu sini nak tengok sendiri keadaan adik,” katanya.

Kejadian itu, katanya, belum dimaklumkan kepada ibu bapanya yang kini berada di hospital di Bangladesh.

Seorang lagi pekerja Mohd Bachu, 30, berkata kejadian itu berlaku kira-kira 10 minit selepas dia masuk kerja.

“Masa tu saya diarah ambil besi di bahagian atas dan toleh-toleh nampak tanah dah runtuh begitu pantas…rakan-rakan yang lain tak sempat selamatkan diri,” katanya sambil memberitahu seorang saudaranya Nur Alam, 30, dipercayai masih terperangkap.

— BERNAMA