KUALA LUMPUR -Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan rasa sedih atas kejadian tanah runtuh yang berlaku di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, pagi tadi.
“Sedih dengan kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah. Moga misi mencari dan menyelamat berjalan lancar, sama-sama kita doakan,” kata Najib menerusi catatan di laman rasmi Twitter beliau, hari ini.
Setakat ini, tiga mangsa ditemui maut, seorang cedera manakala 10 lagi masih hilang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan di tapak projek pembinaan rumah mampu milik berkenaan.
Kejadian itu dilapor pada pukul 8.57 pagi melibatkan 14 mangsa dipercayai tertimbus di bawah runtuhan tersebut.
Mereka terdiri daripada seorang rakyat tempatan manakala yang lain terdiri daripada rakyat Indonesia, Rohingya dan Bangladesh.
Usaha mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang sedang giat dilakukan oleh pihak berkuasa.
— BERNAMA