PULAU PINANG – Lima lagi mayat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak projek Tanjung Bungah di sini berjaya dikeluarkan setakat pukul 7 petang ini.
Penemuan itu menjadikan keseluruhan sembilan mayat sudah berjaya dibawa keluar pasukan penyelamat dengan dua lagi mangsa sedang dikesan.
Penolong Ketua Pengarah Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat JBP, Edwin Galan Teruki berkata, kelima-lima mayat itu dijumpai antara pukul 10 malam tadi hingga 6.20 petang tadi.
Bagaimanapun, ujar beliau, dua mayat terakhir berdepan kesukaran untuk dibawa keluar kerana tertimbus tanah agak dalam iaitu kira-kira 10 meter.
“Selain itu, kita juga berdepan kesukaran mengeluarkan mayat kerana turut ditimpa struktur bangunan, cerucuk besi serta bongkah batu akibat tanah runtuh.
“Dalam masa sama, kita perlu berhati-hati dalam usaha membawa keluar mangsa kerana tidak mahu menjejaskan mayat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Difahamkan, selain rakyat tempatan iaitu Yuan Kuok Wern yang masih gagal dikesan, turut dilaporkan hilang ialah tukang besi warga Bangladesh, Rahaman Abdur dan rakan senegaranya yang merupakan pekerja am, Muhammad Monirul Islam. – MalaysiaGazette