KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat menyaksikan Teater bertajuk ‘Bahara Emas’ di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, malam ini.
Persembahan pentas anjuran sulung Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu mengisahkan kisah pada era pemerintahan Sultan Melaka kelapan Sultan Mahmud Syah, yang menampilkan elemen seperti rasuah, hasad dengki dan fitnah yang berlaku pada zaman itu.
Hadir sama menyaksikan teater yang memuatkan mesej antirasuah itu ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad.
Teater arahan Dekan Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Rosminah Tahir berdurasi kira-kira dua jam membariskan hampir 50 pelakon antaranya Datuk Jalaluddin Hassan, Esma Daniel, Farahdhiya, Nor Zizi Zulkifli, Izzue Islam dan Mubarak Majid.
Persembahan empat hari yang berakhir hari ini itu dipentaskan sempena sambutan 50 tahun SPRM dan merupakan hasil kerjasama Ctra Production, DBP, Istana Budaya dan Aswara.- BERNAMA