Home Ekonomi TNB dipilih jenama korporat terbaik di Malaysia oleh Asiamoney

TNB dipilih jenama korporat terbaik di Malaysia oleh Asiamoney

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) dipilih sebagai Jenama Korporat Terbaik di Malaysia dalam Tinjauan Pendapat Kewangan Jenama Terbaik Asiamoney 2017, kaji selidik mengenai apakah yang menjadikan suatu jenama cemerlang dalam kalangan penggiat pasaran kewangan di Asia Pasifik.

Kaji selidik itu, yang dibuka kepada pembaca Asiamoney yang bekerja dalam industri kewangan di Asia, dilancarkan pada 8 Februari dan ditutup pada 7 April, 2017, kata TNB dalam satu kenyataan hari ini.

“Responden boleh mengundi bagi syarikat-syarikat di negara yang mereka tinggal dan/atau negara mereka beroperasi. Faktor-faktor yang dinilai termasuklah faktor strategik dan kewangan seperti strategi korporat, kepercayaan dan integriti, hubungan pelabur, ketepatan atau kualiti pasukan kewangan dan kekuatan penarafan kredit,” kata syarikat utiliti nasional itu.

TNB, dalam kaji selidik pertama itu menewaskan syarikat tersenarai lain yang disenaraikan di Malaysia seperti AirAsia Bhd, British American Tobacco Malaysia Bhd dan Nestle Malaysia Bhd bagi anugerah tersebut.- BERNAMA