TOKYO – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berjanji akan menangani isu Korea Utara dengan tegas selepas beliau diisytiharkan menang dalam pilihan raya yang diadakan semalam.
Abe mengadakan pilihan raya setahun lebih awal untuk meningkatkan mandatnya di sebalik beberapa krisi” yang dihadapi Jepun.
Antaranya ialah ancaman yang semakin meningkat dari Pyongyang.
“Untuk itu, diplomasi kukuh diperlukan,” katanya.
Dua peluru berpandu Korea Utara telah melintasi Hokkaido dalam beberapa bulan lalu.
Keputusan awal pilihan raya itu memaklumkan Abe telah berjaya mengekalkan dua pertiga undi.
Kemenangan ‘super majoriti’ itu penting untuk Abe mengkaji semula Perlembagaan Pasifisme – pasca perang Jepun – yang digubal oleh penjajah Amerika Syarikat pada tahun 1947 – Artikel 9 yang memerlukan pengunduran perang lengkap.
Jepun mematuhi perundangan itu yang menyatakan tenteranya wujud untuk tujuan pertahanan tetapi Abe mahu mengubah undang-undang tersebut.
Abe berkata, beliau akan cuba mendapatkan sokongan daripada penduduk Jepun untuk tujuan tersebut.
Kemenangan itu membolehkan Abe terus mentadbir Jepun untuk penggal ketiga, sekali gus memberi peluang beliau menjadi Perdana Menteri paling lama selepas dipilih pada tahun 2012. – MalaysiaGazette