Home Seni Hidup Peserta bukan pilihan penonton juara AF Megastar

Peserta bukan pilihan penonton juara AF Megastar

SHAH ALAM – Siapa sangka peserta Akademi Fantasia (AF) musim ketiga yang pernah tersingkir pada konsert minggu keempat dijulang sebagai pemenang Akademi Fantasia Megastar.

Ternyata rezeki menjadi milik Idayu atau Nur Farah Idayu Yaakob ,32, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, selepas tamat langkahnya dalam program realiti itu 12 tahun lalu.

Mengimbau kisahnya dahulu, pelbagai telahan dibuat ketika penyingkiran Idayu.

Ada yang mengambil teori keluarga Idayu membayar AF untuk mengeluarkan Idayu yang ketika itu keluarganya dirompak.

Namun hakikatnya ketika itu, pengundi AF lebih memilih personaliti sebagai pakej untuk jadi pemenang dan menafikan bakat.

Jangan disangkal bakat Idayu ketika itu lagu-lagu dendangannya seperti I Have Nothing (Whitney Houston), Curiga (Ning Baizura) dan Tiada Lagi Tangisan (Misha Omar) mendapat pujian juri.

Idayu hilang dalam dunia kilauan glamour kerana pihak syarikat naungannya, Maestro Record meski dia memiliki dua single Kasih Yang Terpisah dan Paluan Rindumu.

Namun syarikatnya ketika itu terlalu memberi perhatian kepada Mawi yang menjadi fenomena ketika itu.

Idayu yang merupakan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) jurusan Seni Muzik berjaya menebus kegagalannya dahulu dengan membawa pulang gelaran juara.

Faktor pemarkahan yang lebih dipengaruhi juri berbanding undian membantu Idayu dijulang kali ini.

Ini kerana jika mengambil kira undian, Syamel merupakan pilihan penonton sekaligus melayakkan naib juara AF 2015 itu membawa pulang anugrerah Ultimate Performer.

Idayu membawa wang tunai RM100,000, pakej percutian serta trofi.

Malam tadi Idayu menyampaikan lagu My All (Mariah Carey) serta lagu baru Selamanya ciptaan Amylea Azizan.

Namun apa nasib Idayu selepas ini masih menjadi tanda tanya kerana Idayu perlu bersaing dengan nama-nama yang menjual wajah dan populariti dalam industri seni suara tempatan. – Malaysia Gazette