KUALA LUMPUR – Peter Bellew tidak perlu mempertahankan tindakannya meninggalkan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) dengan mengaitkan mana-mana pemimpin negara terdahulu.
Tindakan beliau itu menunjukkan sikap cetek, tidak profesional dan gagal menghormati polisi-polisi negara.
Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) berkata, sekiranya apa yang diperkatakan oleh pelbagai pihak mengenai keputusannya meninggalkan Malaysia Airlines tidak benar, Bellew boleh mendapatkan perintah undang-undang.
“Tetapi kenapa benarkan Bellew mengkritik tadbir urus kita? Siapa dia untuk bercakap mengenai isu-isu lampau Malaysia Airlines System Berhad (MAS), sedangkan dia hanya dilantik sebagai Ketua Pengarah Eksekutif Malaysia Airlines Berhad.
“Kita tidak boleh membenarkan perkara seumpama itu berlaku, membiarkan orang asing mengutuk syarikat penerbangan dengan cara begitu atau pengurusan lama kerana dia tidak berada dalam MAS.
“Adalah hanya dengan memimpin Malaysia Airlines selama dua tahun, dia berhak mengkritik MAS atau pemimpin-pemimpin negara,” kata NUFAM yang terkejut dengan tindak-tanduk Bellew mengadakan sidang akhbar untuk mengkritik perniagaan MAS yang didakwa teruk semasa di bawah Tan Sri Tajudin Ramli dan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika itu.
Tegas NUFAM, kenyataan Bellew itu sebenarnya memberi tamparan kepada negara apabila orang asing seperti Bellew diberi pentas untuk mengkritik syarikat penerbangan dan bekas pemimpin negara.
“Ini kurang ajar dan Peter Bellew memohon maaf kepada Dr. Mahathir dan ‘baliklah kampung’ dengan segera.
“Jika Bellew dibenarkan bertindak sedemikian, kita akan lihat lebih ramai peneraju asing akan mengeluarkan kenyataan seumpama itu pada masa depan,” ujar NUFAM sambil tidak menolak kemungkinan bekas peneraju Malaysia Airlines itu telah dipergunakan.
NUFAM berkata, Bellew tidak layak untuk berkata apa-apa kerana beliau juga melakukan kerja separuh jalan dan tindakannya itu menimbulkan kemarahan dan persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bellew juga patut berasa malu kerana berterusan membuat kenyataan yang berubah-ubah tentang peletakan jawatannya.
Semalam Bellew dalam kenyataannya berkata, peletakan jawatannya hanyalah kerana mahu ‘balik kampung’ dan menafikan dakwaan sesetengah pihak termasuk Dr. Mahathir yang menuduh tindakannya itu adalah kerana campur tangan kerajaan dan Khazanah Nasional semasa menjalankan tugas. – MalaysiaGazette