BEIRUT – Lebih 1,100 kanak-kanak menderita kekurangan zat gizi di daerah Ghouta yang dikepung pemberontak di luar ibu kota Syria, menurut dana kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).
Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan dalam beberapa bulan kebelakangan ini mendapati 1,114 kanak-kanak mengalami pelbagai bentuk kekurangan zat makanan, termasuk “kekurangan zat makanan yang teruk”.
Jurucakap Unicef, Monica Awad berkata, penilaian dalam tempoh tiga bulan yang lalu mendapati 232 kanak-kanak mengalami malnutrisi akut yang teruk, tahap kurang nutrisi yang memerlukan rawatan segera untuk memastikan mereka terus hidup.
Seramai 882 lagi mengalami kekurangan gizi akut yang sederhana, dengan lebih daripada 1,500 kanak-kanak lain berisiko, kata Awad.
“Sepanjang bulan yang lalu, terdapat dua kematian yang dilaporkan dalam kalangan bayi, seorang bayi perempuan berusia 34 hari dan seorang bayi lelaki berusia 45 hari kerana tidak mencukupi susu,” kata Awad.
“Ibu juga tidak mempunyai akses kepada makanan yang berkualiti, menjadikan mereka lemah dan tidak dapat menyusukan anak mereka.”
Sahar Dofdaa, hanya 34 hari, meninggal dunia pada Ahad lalu di sebuah hospital di bandar Hamouria timur Ghouta.
Imej yang dirakam oleh seorang wartawan menunjukkan bayi perempuan itu bermata besar dalam keadaan tidak bermaya. Dia cuba menangis tetapi tidak mempunyai kekuatan untuk mengeluarkan suara.
Peha tulang belakangnya terkeluar daripada lampinnya yang jauh lebih besar. Beratnya kurang daripada dua kilogram.
Ibunya terlalu kurang berkhasiat untuk menyusukan anaknya dan bapanya yang bekerja di kedai daging, tidak mampu membelinya susu dan makanan tambahan.
“Bantuan kemanusiaan sangat diperlukan. Mereka perlukan makanan berkualiti, ubat dan bekalan makanan tambahan,” kata Awad.
Lebih daripada 40,000 orang dipercayai menetap di timur Ghouta, salah satu kubu kuat pembangkang di Syria.
Kawasan ini telah dikepung oleh Presiden Bashar al-Assad sejak tahun 2013, menyebabkan kekurangan makanan dan bekalan ubat-ubatan. Barang-barang yang diseludup masuk dijual pada harga yang sangat tinggi. – MalaysiaGazette