Home Utama Pengganas Abu Sayyaf lari ke Sabah bekerja pengawal keselamatan

Pengganas Abu Sayyaf lari ke Sabah bekerja pengawal keselamatan

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Ekoran serangan agresif oleh pihak tentera Filipina, terdapat ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang melarikan diri ke Filipina malahan ada yang bekerja untuk menyembunyikan identiti mereka, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh mereka berjaya menangkap tujuh orang ahli Abu Sayyaf dan mereka ini bekerja sebagai pengawal keselamatan semasa ditahan.

“Hasil maklumat dan risikan yang dikumpulkan, kita telah berjaya menangkap tujuh orang kumpulan Abu Sayyaf yang berselindung dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sabah,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, beliau juga sudah mengarahkan agensi penguatkuasaan negara mengetatkan kawalan mereka bagi menghalang mereka menyusup masuk ke Malaysia melalui Sabah.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan telah mengarahkan semua agensi penguatkuasaan terutamanya di sempadan Filipina untuk meningkat kawalan keselamatan,” ujarnya.

Tentera Filipina sebelum ini berdepan pertempuran hebat di bandar Marawi dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan Daesh selama hampir lima bulan.

Pertempuran itu telah meragut nyawa lebih 1,000 orang termasuk lebih 800 pelampau serta 162 anggota tentera dan polis.

Konflik 148 hari itu turut menyingkirkan lebih 200,000 penduduk dan kira-kira 300,000 lagi di luar bandar Marawi, ibu negara wilayah Lanao del Sur.

PIhak tentera berkata, sekurang-kurangnya 47 orang awam telah dibunuh oleh pengganas.

Jabatan Kesihatan pula berkata pada Julai lepas, sejumlah 40 orang awam meninggal dunia akibat penyakit di pusat pemindahan yang dikendalikan oleh kerajaan di wilayah berhampiran.

Ribuan mangsa masih ditempatkan di semua pusat terbabit. – MalaysiaGazette