KUALA LUMPUR – Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) mendesak Tun Mahathir Mohamad memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri ekoran dakwaan Peter Bellew berhenti kerana campur tangan Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusi GAUM, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Bellew bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad dalam sidang media pada Ahad lepas menafikan tuduhan yang dibuat Mahathir.
“Bellew turut menegaskan Najib tidak pernah campur tangan dalam apa jua cara, sebaliknya, Najib memberi galakan kepada beliau dalam setiap tindakannya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Zulkarnain memberi tempoh selama seminggu untuk Mahathir bermula hari ini untuk membuat permohonan maaf kepada Najib.
Menurutnya, Pengerusi Pakatan Harapan itu seharusnya menunjukkan contoh yang lebih baik kepada generasi muda yang menceburi bidang politik ketika ini dan bukan sebaliknya.
“Apabila pemimpin politik dilihat kerap berbohong dan membudayakan pula politik maki hamun, tidak dapat digambarkan bagaimana pula masa depan generasi muda yang akan datang dan bakal mewarisi kepimpinan negara.
“Janganlah hanya kerana dendam dan semangat mahu menjatuhkan kepimpinan Najib sehingga semua perkara yang dilalukan walaupun perkara tersebut tidak betul cuba dihalalkan, malahan sanggup memutar belit fakta bagi tujuan cuba mengaburi mata rakyat,” katanya lagi.
Menurut Zulkarnain, cukuplah saf pimpinan pembangkang mempunyai pemimpin seperti Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dilihat kerap berbohong bahkan mutakhir ini Mahathir pula dilihat seakan cuba mencontohi cara Rafizi berpolitik dengan menggunakan kaedah politik bohong dan memaki hamun.- MalaysiaGazette
Comments are closed.