Home Ekonomi Minyak Brent naik 1%

Minyak Brent naik 1%

NEW YORK – Minyak mentah Brent naik 1.0 peratus selepas Arab Saudi bertekad untuk mengakhiri lebihan bekalan.

Kenaikan itu juga disokong ramalan kejatuhan dalam inventori mentah Amerika Syarikat serta kegelisahan terhadap ketegangan di Kurdistan Iraq.

Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid al-Falih berkata, fokusnya untuk mengurangkan stok minyak di negara-negara perindustrian hingga purata lima tahun dan menimbulkan prospek kekangan keluaran berpanjangan apabila pakatan pembekalan yang diketuai OPEC berakhir.

Pasaran minyak menimbulkan kebimbangan apabila perjanjian pengurangan bekalan tamat, yang mana pengeluar akan meningkatkan penghantaran sekali lagi dan menyebabkan harga jatuh.

Khalid berkata, permintaan terhadap minyak dijangka berkembang sebanyak 45 peratus pada tahun 2050 meskipun dunia mempromosikan penggunaan sumber tenaga diperbaharui.

“Jangkaan peningkatan permintaan terus menyokong kenaikan harga. Terdapat kebimbangan tentang Kurdistan dalam pasaran tetapi pemotongan pengeluran terus memacu pedagang,” kata Gene McGillian, pengurus penyelidikan pasaran di Tradition Energy.

Penanda aras bagi minyak global naik 1.7 peratus kepada AS$58.33 setong manakala minyak Amerika Syarikat mengakhiri dagangan kepada AS$52.47, bertambah 1.1 peratus.

OPEC dan Rusia serta sembilan lagi pengeluar telah mengurangkan bekalan minyak kira-kira 1.8 juta sehari sejak Januari lalu hingga suku pertama tahun depan.

Harga minyak juga mendapat sokongan daripada jangkaan inventori minyak mentah menyusut sebanyak 2.5 juta tong dalam laporan bekalan mingguan terkini – yang mana penurunan minggu kelima berturut-turut, sekali gus menunjukkan pemotongan bekalan oleh OPEC berjaya. – MalaysiaGazette