KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar masih tidak berpuas hati dengan tindakan berdiam diri Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang masih belum meminta anaknya, Lim Guan Eng meletak jawatan berhubung insiden tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang baru-baru ini.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu ‘berang’ dengan Kit Siang kerana sebelum ini cepat menunding jari kesalahan kepada orang lain apabila sesuatu insiden berlaku tetapi berdiam diri pula apabila berlaku kepada anaknya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Waktu rumah terbakar dia (Kit Siang) minta saya dipecat, hari ini saya nak cabar Gelang Patah (Kit Siang), sini ramai Ahli Parlimen DAP, kita nak tengok apa tindakan beliau terhadap anaknya (Guan Eng).
“Suruh lah anak dia letak jawatan, kalau anak dia tidak mahu letak jawatan ini mungkin anak derhaka barangkali,” kata Noh semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Noh membangkitkan insiden sebelum ini semasa berlaku tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 14 September lalu, Kit Siang dengan pantas menunding jari menyalahkan kerajaan dan mendesak beliau selaku Menteri bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan.
Noh berkata, pemimpin veteran DAP itu tidak wajar bersikap berat sebelah apabila tidak pula mahu mengambil tanggungjawab untuk mendesak anaknya letak jawatan.
“Jangan nak tengok anak orang, tengok dahulu anak sendiri, suruh dia letak jawatan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Noh juga mengesahkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) tidak pernah memberikan kelulusan kepada projek perumahan di Tanjung Bungah tersebut.
“Dalam minit mesyuarat jawatankuasa teknikal, PLANMalaysia tidak menyokong projek itu untuk ditambah dengan bangunan yang tinggi,” katanya.
Dalam kejadian tanah runtuh kira-kira pukul 8.57 pagi Sabtu, seramai 11 mangsa tertimbus ketika sedang bekerja di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai. – MalaysiaGazette
Comments are closed.