PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina bagi mengesahkan identiti militan kelahiran Malaysia, Dr Mahmud Ahmad, yang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan tentera negara itu pada 18 Okt lepas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata PDRM telah menghubungi pihak berkuasa Filipina dan bersedia menghantar pasukan forensik ke negara itu bagi membuat pengecaman mayat Mahmud.
Katanya, pihaknya juga telah mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada anak Mahmud beberapa hari lepas sebagai persediaan jika terdapat permintaan daripada pihak berkuasa Filipina untuk ujian itu dilakukan.
“Buat masa ini yang terbaik kita boleh lakukan ialah menghubungi pihak berkuasa Filipina untuk membantu kita mendapatkan akses kepada mayat (jika ditemui).
“Kita akan buat ujian DNA dan jika sah itu mayat arwah dan ada permintaan daripada keluarga untuk kita bawa pulang, kita akan usahakan perkara itu,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.- BERNAMA