Home Politik Bajet alternatif janji bulan, bintang – Budiman

Bajet alternatif janji bulan, bintang – Budiman

Budiman Mohd Zohdi

KUALA LUMPUR – Pembentangan Bajet Alternatif 2018 yang dibentangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam hanya menjanjikan bulan dan bintang semata-mata cuba memukau rakyat Malaysia.

Demikian kata Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi sambil menyifatkan pendirian pembangkang tidak konsisten susulan rekod belanjawan yang dibentangkan sebelum ini tidak bertanggungjawab.

“Setiap tahun pendirian mereka berubah-ubah. Contoh mudah adalah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Pada suatu ketika mereka berjanji untuk menghapuskan GST, pada suatu ketika pula mereka akan kekalkan GST.

“Begitu juga Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Dahulu mereka janji akan dihapuskan. Pada tahun ini pula mereka hanya berjanji untuk menangguhkan pembayaran PTPTN kepada graduan baru bergaji kurang RM4,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Wan Azizah selaku Presiden Pakatan Harapan membentangkan Bajet Alternatif 2018 yang merupakan sebahagian manifesto ekonomi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Belanjawan itu bertemakan “Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih Harapan” merangkumi beberapa isu menyentuh kos kehidupan rakyat seperti pemansuhan tol dan GST.

Budiman selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang juga mempersoalkan pendirian Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak bersuara apabila Bajet Alternatif itu mahu mengekalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Tun Dr. Mahathir berulang kali menyatakan sebelum ini pemberian BR1M adalah suatu bentuk rasuah oleh pihak kerajaan tetapi dalam bajet alternatif mereka menyatakan kepentingan BR1M kepada rakyat terutamanya golongan memerlukan.

“Mereka akui keberkesanan BR1M dalam mengurangkan tekanan kos sara hidup dan mereka akhirnya berjanji untuk meneruskan pemberian BR1M,” katanya.

Katanya lagi, pendirian Pakatan Harapan sekali lagi dipersoalkan apabila menggunakan pendekatan yang sama dilakukan Kerajaan Barisan Nasional dalam isu pemberian subsidi.

“Pembangkang menggunakan penarikan subsidi gula untuk menghentam kerajaan, tetapi dalam bajet alternatif ini, mereka telah menyatakan tidak akan mengembalikan subsidi gula.

“Pada sama mengulang gesaan kerajaan agar rakyat mengambil gula pada kadar yang perlu sahaja demi kebaikan kesihatan.” katanya lagi. – MalaysiaGazette.